China, Brunei Ikrar Perkasa Sinergi

( CRI ) Rabu 15 Mei 2024

Ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) yang juga Menteri Luar Wang Yi mengadakan rundingan dengan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei Dato Seri Setia Haji Erywan di Beijing pada Selasa.

Wang berkata China bersedia bersinergi dengan Brunei untuk memperkasa kerjasama, mewujudkan matlamat jangka panjang berkaitan pembinaan komuniti berkongsi nasib China-Brunei dan memantapkan perkongsian kerjasama strategik dua negara.

Menurut beliau, pembangunan China mempunyai dorongan intrinsik yang kuat serta logik sejarah yang pasti berlaku, dan bakal membawa peluang baharu kepada negara jiran termasuk Brunei.

China menyokong usaha Brunei menggalakkan kepelbagaian ekonomi dan bersedia meneroka potensi kerjasama dua hala dalam bidang baharu seperti ekonomi digital, pembangunan hijau, perubatan dan kesihatan.

China juga menyokong kepusatan ASEAN dan kemandirian strategiknya serta usaha memperkasakan mekanisme kerjasama yang diterajui ASEAN.

Wang turut menzahirkan komitmen China bersama negara ASEAN terus melaksanakan Deklarasi Tatalaku (DoC) Pihak-Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan, sambil berusaha memuktamadkan Kod Tatalaku (CoC) yang efektif dan substantif seawal mungkin.

Erywan pula berkata Brunei memberi keutamaan kepada hubungan dengan China dan berpegang teguh pada dasar satu China.

Brunei berkeyakinan penuh terhadap ekonomi China dan percaya bahawa pembangunan China akan memacu pembangunan bersama negara serantau.

Beliau juga menghargai usaha China menggalakkan perdamaian dan kolaborasi serta menegakkan keadilan dalam isu panas global seperti isu Asia Barat.

Brunei bersedia merapatkan sinergi dengan China untuk memelihara kedamaian dan kestabilan serantau, di samping mendorong pembangunan dan kemakmuran bersama.

Video

Berita Berkaitan