Fenomena Aurora di China Gamit Kehadiran Pelawat

( Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian ) Selasa 14 Mei 2024
 Fenomena Aurora di China Gamit Kehadiran Pelawat
Aurora ungu menerangi langit malam di Altay, Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang, 12 Mei 2024. (Foto ihsan Pusat Media Bersepadu Altay)

Pada awal pagi Sabtu, ribut geomagnet memberikan ‘hadiah’ yang menakjubkan untuk China apabila berlakunya fenomena aurora borealis yang menerangi langit merentasi pelbagai wilayah.

Ia sekali gus menarik kehadiran ramai pengunjung dan jurugambar untuk menghayati keindahan yang menakjubkan.

Tepat pukul 9.32 hari sama, Pusat Pemantauan Cuaca Angkasa Negara dan Amaran Awal di bawah Pentadbiran Meteorologi China mengeluarkan amaran merah ribut geomagnet, dengan meramalkan tahap aktiviti suria dari sederhana hingga tinggi dalam tiga hari akan datang.

Amaran itu turut membawa maksud bahawa terdapat kemungkinan berlakunya suar kelas M, bahkan kelas X, yang mampu mengakibatkan ribut geomagnet kecil hingga besar, serta ribut geomagnet yang dahsyat.

Kawasan seperti Altay di Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang di bahagian barat laut China, Mohe di provinsi Heilongjiang di bahagian timur laut China dan Wilayah Autonomi Mongolia Dalam di bahagian utara China merupakan antara destinasi terbaik untuk menyaksikan fenomena semula jadi tersebut.

Altay, yang terletak di bahagian utara Xinjiang, menjadi tumpuan pelancong dan peminat fotografi yang teruja untuk menyaksikan keajaiban alam semula jadi itu. Langit malam dihiasi dengan warna-warni aurora, secara tidak langsung mencipta pemandangan yang memukau bagi setiap pasang mata yang memandangnya.

Orang ramai yang keluar dari rumah masing-masing pada waktu malam dan mendongak ke langit pula dihidangkan dengan paparan tarian aurora yang berwarna-warni, tidak ubah seperti suasana alam fantasi.

Ibarat hadiah ajaib dari alam semula jadi, fenomena aurora tentunya memikat penonton, dan membuatkan mereka terpesona.

Dengan iklim yang sejuk dan terletak tinggi dari paras laut, Altay telah menjadi lokasi utama untuk melihat aurora sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menarik pelancong dari destinasi domestik dan antarabangsa.

Di Mohe juga terdapat langit malam diterangi dengan warna ungu dan merah yang terang, menarik pelancong dari merata-rata tempat.

Seorang pelancong, Ma Jingxuan dari Beijing mengembara menerusi jalan raya ke Mohe khusus untuk menyaksikan pemandangan aurora merah yang memukau.

"Saya memandu sepanjang jalan dari Beijing dan akhirnya dapat melihat cahaya utara. Ia benar-benar cantik dan mengagumkan," kata lelaki tersebut sambil merakam detik ajaib itu dengan kameranya, lapor Guangming Daily pada Sabtu.

Tahun ini, Mohe telah menyaksikan beberapa kejadian cahaya utara, menarik pengunjung dari seluruh pelusuk negara.

Video