Saintis China Bangunkan Penanaman Padi Pantas di Rumah Hijau Gurun Xinjiang

( Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian ) Isnin 06 Mei 2024
 Saintis China Bangunkan Penanaman Padi Pantas di Rumah Hijau Gurun Xinjiang
Penyelidik menanam anak benih padi dalam larutan nutrien di rumah hijau di tanah terbiar di Hotan, Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang. (Foto/China Daily)

Padi yang ditanam di pinggir Gurun Taklimakan di wilayah autonomi Uygur Xinjiang kini mempunyai kitaran pertumbuhan yang jauh lebih pendek.

Difahamkan, elemen-elemen seperti pertanian tanpa tanah, pencahayaan buatan dan beberapa teknologi lain telah mendorong kepada kejayaan tersebut.

Sekumpulan saintis dari Akademi Sains Pertanian China (CAAS) baru-baru ini mengumumkan kejayaan penanaman percubaan padi jenis biasa untuk matang dalam tempoh 60 hari sahaja, iaitu kurang daripada separuh tempoh normal.

Untuk rekod, penanaman tersebut telah dilakukan dan matang di rumah hijau yang terletak di atas tanah terbiar yang luas di Hotan, bahagian selatan Xinjiang.

Di bahagian dalam fasiliti tersebut terdapatnya pokok padi ditanam dalam larutan nutrien di rak, yang membantu menjimatkan ruang, manakala pencahayaan buatan juga digunakan untuk membantu menanam padi secara berterusan.

Lazimnya, penanaman padi konvensional melibatkan pemupukan benih menjadi anak benih padi, menanamnya di ladang dan menunggu untuk menuai, seterusnya mengambil masa kira-kira 120 hingga 150 hari secara purata untuk menyelesaikan keseluruhan proses.

"Hotan mempunyai padang pasir yang sangat luas, dan sumber cahaya matahari dan haba yang baik.

"Ia adalah tempat yang sesuai untuk menjalankan penyelidikan pertanian menggunakan tanah yang terbuang," kata Yang Qichang, ketua saintis dari Institut Pertanian Bandar di Chengdu, provinsi Sichuan.

Beliau yang juga merangkap ketua projek itu mula melihat kemungkinan pertumbuhan padi yang pesat pada tahun 2016.

Menjelang 2021, Yang dan rakan-rakannya telah berjaya mengurangkan separuh kitaran pertumbuhan beras dalam persekitaran makmal di Chengdu, iaitu sebuah bandar yang terkenal dengan hari hujan dan musim panas yang terik, menerusi keadah manipulasi seperti suhu, kelembapan, pencahayaan, kepekatan karbon dioksida dan input baja.

Wang Sen, penyelidik CAAS yang terlibat dalam projek itu berkata, persekitaran buatan manusia memerlukan kos yang tinggi berikutan jumlah besar tenaga yang diperlukan untuk mensimulasikan cahaya matahari dan suhu panas di Chengdu, serta kos pembinaan rumah hijau yang tinggi di pusat penduduk di barat daya China.

"Kos pembinaan rumah hijau di Hotan jauh lebih murah berbanding di banyak bahagian lain di China kerana kebanyakannya dibina di atas tanah terbiar rata," katanya.

Faktor tersebut mendorong para penyelidik mengalihkan tumpuan mereka ke padang pasir Xinjiang.

Cahaya matahari yang banyak dan perbezaan suhu yang besar antara siang dan malam di Xinjiang juga menggalakkan pembangunan tanaman dan membantu mengurangkan jumlah tenaga yang diperlukan untuk mensimulasikan keadaan sedemikian.

Selepas dua tahun percubaan dan kesilapan, mereka berjaya membiak padi secara laju di padang pasir.

Wang berkata rakan-rakannya kini berfikir tentang menggunakan teknologi yang sama untuk mempercepatkan pembiakan tanaman lain di padang pasir, termasuk kentang, jagung, gandum, biji serai, kapas dan alfalfa.

Padi pembiakan cepat ditanam di rumah hijau padang pasir di Hotan, Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang, dalam tempoh percubaan. (Foto/Institut Pertanian Bandar, Akademi Sains Pertanian China)

Video

Berita Berkaitan