Taman Tema Mega China Terima Lebih 7.57 Juta Pelawat Pada 2022

( Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian ) Rabu 22 November 2023

 Universal Beijing Resort

Universal Beijing Resort

80 taman tema mega di China menjadi tuan rumah kepada lebih 7.57 juta pelawat pada 2022. Pembukaan 10 taman tema mega baharu meningkatkan pendapatan taman tema utama kepada 15.35 bilion yuan (hamper 10 bilion ringgit), mencatatkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 15.29 peratus.

Demikian memetik sebuah laporan oleh institut pengajian taman tema di China, pada Sabtu.

Difahamkan, laporan itu memfokuskan kajian terhadap 80 daripada 82 taman tema mega di China.

Berbanding tahun lepas, 10 taman tema mega baharu telah ditambah pada laporan itu, termasuk Universal Beijing Resort. Pembukaan baharu itu telah membantu taman tema China mencapai pertumbuhan hasil meskipun menyaksikan sedikit penurunan dari sudut bilangan pengunjung.

Lin Huanjie, Ketua Institut Penyelidikan Taman Tema di China, menerusi laporan parper.cn memberitahu, 2022 merupakan tahun paling sukar bagi taman tema China.

Beliau berkata, walaupun selepas 10 taman tema mega baharu ditambah dalam laporan itu, bilangan pelawat ke taman tema mega di China masih menurun 0.33 peratus.

Di antara semua taman tema mega di China, Shanghai Disney Resort menjadi tuan rumah paling ramai pengunjung, manakala Universal Beijing Resort pula merealisasikan hasil tertinggi.

Lin berkata, jumlah taman tema di China meningkat secara berterusan, dan kebanyakan taman itu dikategorikan dalam siri taman tema tertentu.

“Antara 80 taman tema mega dalam laporan itu, 24 adalah milik siri Fantawild, 8 daripadanya adalah dalam siri Happy Valley, 7 dalam siri Rongchuang, dan 5 dalam siri Haichang, sekali gus menyumbang 55 peratus daripada jumlah keseluruhan taman tema mega di China,” ujarnya.

Tambah beliau, taman tema di China berada dalam arah aliran penjenamaan, membentuk lebih banyak rangkaian taman tema serta mencipta lebih banyak IP taman tema setempat China. Trend itu juga berjaya meningkatkan kadar lawatan semula taman tema di China.

Untuk rekod, China menyaksikan pemulihan pelancongan yang pesat apabila dalam tiga suku pertama tahun ini, jumlah ketibaan pelancong domestik mencecah 3.674 bilion, iaitu meningkat 1.58 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2022 atau 75.5 peratus tahun ke tahun.

Tongzhou Construction and Operation Group pada 21 Oktober lalu menyatakan bahawa China turut menjangkakan kewujudan lebih banyak taman tema mega.

Di Tongzhou, Beijing, pembinaan dua taman tema telah dirancang di utara Beijing Universal Resort. Kedua-dua taman itu dijangka mempunyai jumlah pelaburan RMB5.6 bilion, meliputi kawasan seluas lebih 210,000 meter persegi.

Video

Berita Berkaitan